Mukaddimah

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia. Sebagai pembuka bicara saya ingin memperkenalkan diri.Saya cikgu Shamsinar berumur 42 tahun. memulakan sejarah sebagai guru dengan menjadi guru sandaran tanpa latihan sebaik saja selesai pengajian diploma di USM  iaitu Diploma Teknologi Makmal  tahun 1991. Pada hujung tahun 1991 saya memohon menjadi guru sandaran atau lebih tepat lagi, bapa saya yang memohonkan jawatan tersebut. Saya memulakan kerjaya di sebuah sekolah vokasional yang baru dibuka. 

Semasa mendaftar sekolah itu belum ada murid,. kerja kami guru-guru ketika itu seperti pekerja am sekolah kerana perlu mempersiapkan sekolah dan persekitarannya untuk menyambut murid . Saya dilantik sebagai guru warden asrama perempuan dan terpaksa tinggal di bangunan yang tanpa elektrik selama beberapa minggu. Fuh, memang menyeramkan...dengan hanya pelita menemani malam di sebuah bangunan yang jauh dari manusia lain. Pada usia 22 tahun , itu memang pengalaman yang tak boleh dilupakan.

Setelah murid mendaftar saya diberi tugas mengajar Bahasa Melayu tingkatan 4 dan Sains tingkatan 4. Sekolah baru, saya baru , semua baru...memang seronok ...
Hari pertama masuk kelas rupanya memang menggerunkan, maklumlah saya memang tiada langsung pengalaman dan pengetahuan sebagai guru. Sebaik pelajar bangun untk mengucapkan salam terus menggigil lutut saya kerana murid-murid saya tu, lebih tinggi dari saya dan hanya ada 2 murid perempuan. Tapi kontrol la kan.... hehehe. Bagi menutup gementar di hati saya , saya menampilkan perwatakan yang tegas atau lebih tepat, garang. Hari pertama kan.. tetapi selepas itu saya dan murid sangat rapat ..Maklumlah mereka semua tinggal di asrama, jadi sayalah pengganti ibu mereka.

Saya belajar menjadi guru dari pengalaman seharian, reaksi murid-murid ketika itu dan dengan bimbingan guru-guru lain. Jarak umur dengan murid pun cuma 6 tahun sahaja jadi memang mudah untuk saya menjadi rapat dengan mereka. Saya sangat menghargai pengalaman 6 bulan pertama saya di sekolah vokasional tersebut kerana sebelum ini saya seakan dipaksa oleh ayah untuk menjadi guru, tetapi setelah 6 bulan tersebut saya terus jatuh cinta dengan profession perguruan ini.


Walaubagaimana pun saya sedar akan kekurangan saya yang tiada ilmu dalam arena keguruan ini, jadi saya berazam untuk berusaha menjadi guru yang bertauliah. walaubagaimana pun banyak sungguh halangannya....

 Setelah menghabiskan 6 bulan pertama tahun 1992 di SMVKK, saya dihantar pula ke Felda Palong 7. Ketika itu khidmat GSTT memang amat diperlukan di FELDA . Bayangkan bagi sesi petang ada 18 orang guru dan dari 18 orang tersebut cuma seorang adalah guru terlatih. Saya yang cuma GSTT ini dilantik sebagai Penolong Penyelia Petang. Tanpa pengalaman dan pengetahuan sudah tentu banyak salah silap saya ketika menjalankan tugas. Saya di sini selama 21/2 tahun. Saya ditugaskan mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik tingkatan 1 dan 2 pula  Sempat juga saya mengajar agama selama beberapa bulan dan digelar ustazah kerana ketika itu memang tiada guru agama. Kehidupan yang jauh dari keluarga dan bandar memang tidak dapat dilupakan tetapi di sini saya lebih banyak belajar untuk menjadi guru yang prihatin terhadap anak-anak murid.  Di sinilah saya belajar bahawa kepuasan menjadi seorang guru ialah apabila kita dapat menjadi 'seseorang' dalam hidup anak-anak murid kita yang menjadi pendorong kepada mereka ke arah yang positif. Saya dapat merasa hidup lebih bermakna apabila dapat mengubah seseorang anak murid dari negatif kepada positif samada dari segi sahsiah atau kecemerlangan akademik mereka.

Pertengahan tahun 1994 , ayah menaiki motorsikal dengan ibu dan adik kecik dengan perjalanan 100km semata2 hendak membawakan borang permohonan ke maktab. Saya yang sebenarnya masih menunggu jika ada program PPLD dilancarkan , terharu dengan usaha ibu ayah lantas mengisi borang tersebut. Rupa-rupanya program PPLD dilancarkan 6 bulan kemudian. Akibatnya saya yang telah pun ada Diploma terpaksa juga mengikuti program sijil selama 2 1/2 tahun walhal saya sepatutnya cuma perlu ikuti program setahun . Ketika semesster kedua saya di maktab saya memohon PPLD tetapi setelah seminggu mengikuti orientasi di Maktab Tuanku Bainun saya dipanggil semula ke Maktab Raja Melewar kerana kononnya tidak boleh melanggar perjanjian....sedihnya, susah betul nak jadi cikgu...
Saya pun meneruskan pengajian 4 semester lagi di MPRM. Menjadi murid tua di dalam kelas kerana murid lain adalah lepasan SPM (18)dan STPM (20) sedangkan saya dah pun 26 tahun. Malah ada seorang lecturer sebaya dengan saya dan dia sendiri tiada pengalaman mengajar berbanding saya yang dah pun mengajar 3 tahun sebelum memasuki maktab. Gambar semasa mewakili maktab dalam pertandingan pedagogi, KAGUM.
Saya meninggalkan maktab pada pertengahan 1997 dan dipostingkan 3 bulan kemudian....bermulalah kerjaya saya sebagai guru tetap dan berpencen.