Tuesday 11 October 2011

Pengenalan Pemulihan

MURID PEMULIHAN KHAS Kanak-kanak Pemulihan Khas merupakan pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran dalam 3M iaitu membaca, menulis dan mengira disebabkan oleh faktor-faktor tertentu. Pelajar-pelajar ini lambat menguasai sesuatu kemahiran yang disampaikan kepada mereka. Murid-murid ini juga mempunyai pencapaian yang rendah berbanding murid-murid lain yang sama peringkat persekolahan dengan mereka. Oleh itu, tindakan pemulihan perlu diberikan dengan segera bagi mengatasi masalah pembelajaran yang berterusan ini. Pendidikan pemulihan merupakan satu usaha atau perkhidmatan khas yang dilakukan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang menghadapi masalah dan kesulitan pembelajaran di sekolah-sekolah. Tujuan pendidikan pemulihan ini adalah untuk membantu murid-murid dalam mengembangkan diri dan menunjukkan potensi mereka. Masalah-masalah Murid Pemulihan : Kanak-kanak yang perlu menjalani program pendidikan pemulihan biasanya terdiri daripada murid-murid yang kurang bernasib baik dan menghadapi masalah pembelajaran. Antaranya ialah : Mereka yang mempunyai kelemahan dalam membaca, menulis dan mengira serta kelemahan dalam daya pemikiran yang abstrak. Mereka juga tidak mempunyai kemampuan menganalisis sesuatu untuk membezakan antara yang penting dengan yang kurang penting seperti dalam kefahaman dan menganalisis teks disebabkan kurangnya daya cipta dan kekurangan penguasaan kosa kata Pertuturan yang mempunyai kelemahan dalam koordinasi pancaindera dengan pemikiran dari segi pengamatan, pendengaran dan pertuturan. Lemah dalam penerimaan konsep-konsep yang baru, tidak boleh mengingat kembali, tidak mempunyai akal yang cerdas serta kurang pengalaman tentang alam sekeliling. Kurang keyakinan diri kerana dikuasai oleh perasaan rendah diri, tidak boleh bertindak balas dengan bebas kerana kelemahan sikap kanak-kanak itu sendiri. Gagal dalam ujian atau peperiksaan dan lemah / mundur dalam pelajaran. Tercicir daripada sekolah pada peringkat awal lagi Ketidakbolehan belajar sesuatu dalam masa yang terhad Darjah kecerdasan yang rendah apabila dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya. Murid-murid pemulihan ini juga dianggap sebagai murid murid yang gagal menghadapi kerja normal sekolah untuk kumpulan sebaya mereka tetapi kegagalan mereka tidak boleh dianggap disebabkan oleh kecacatan. Kadangkala mereka ini diberi label pencapaian rendah yang bermaksud bahawa mereka memperlihatkan taraf pendidikan yang tidak memuaskan berbanding dengan taraf pencapaian purata rakan-rakan sebaya mereka atau taraf pencapaian yang diharapkan bagi murid-murid pada peringkat persekolahan. credited to : Cikgu Cam, http://pemulihankhascikgucam.blogspot.com

1 comment: